Seni itu bising!



Link:Tate Modern Museum 

Hanisah selalu bercerita tentang keterujaannya dengan Tate Modern Museum. Disebabkan diri ini acah-acah minat seni sangatlah teruja nak melawat muzium itu. Jannah-lah mangsa peneman diri-yang-bajet-suka-seni ini untuk melawat muzium itu. Lagipun masuk muzium itu percuma kecuali kalau berminat nak tengok special exhibition etc. Special exhibition? Hati kami segera sepakat dengan poket kami: Tidak! No! Nehi!

Setibanya disana kami teruja melihat London Fog karya Fujiko Nakaya yang betul-betul di hadapan pintu masuk utama muzium. London Fog itu terhasil daripada semburan beberapa pancutan air yang disusun kemas oleh paip yang panjang melingkar membentuk setengah bulatan (berapa banyak bil air yang dibayar agaknya? sebok! --"). Kadang-kadang ada angin yang datang menyapa, menghilanglah sedikit the fog itu.  Bukan hanya kanak-kanak sahaja yang teruja untuk bermain dengan the fog tu. Abang, kakak (err--ehem!), pakcik dan makcik pun teruja bergambar dalam kabus buatan itu. Disebabkan angin pagi tu agak 'garang', kami perlu mengambil masa untuk dapat spot/angle gambar yang terbaik. (bajet professional photographer-lah sangat!)

Apabila mula menjejakkan kaki ke dalam muzium tu, kelihatan bangunan itu sangatlah besar. Bertingkat-tingkat. Silingnya tinggi yang amat. Kelihatan bagiku ianya seperti sebuah kilang yang terbiar. Kami mulakan langkah, naik tangga dan escalator ke family section. Dalam bilik tu ada beberapa karya kolaj (ala.. yang gunting kertas warna kotak-kotak kecil untuk kemudian tampal-tampal bagi nampak rupa bunga, pokok etc). Hasil perbincangan gelak ketawa kami waktu itu: Karya kolaj itu kelihatan lebih buruk daripada hasil karya kami di sekolah rendah dulu (bajet bagus la sangat, kan? --"). Selepas tu, kami menyusup ke bahagian yang ada lukisan yang tak berapa nak simetri, kemudian potrait sejarah tentang civil war, war itu, war ini, yang membuat aku dah mula rasa lemas dan bosan gelakkan dan pertikaikan hasil seni orang. Sehinggalah...

Sehinggalah ke sebuah kamar gelap dengan projektor berwarna warni. Liquid Crystal Environment karya Gustaz Metzger. Sehingga kini masih lagi tak menghargai seni (seperti dalam gambar teratas-hujung-kanan). Sungguh aku tak mahu ambil peduli apa cerita disebalik pancaran slaid yang berwarna-warni itu. Kelihatan beberapa kanak-kanak pun melakukan aksi yang sama dengan kami. Huhuuu, kita geng!

Akhirnya kami ke bahagian Artist & Society. Ada sebuah bilik kecil yang memancarkan short videos berkenaan artist meluahkan apa & kenapa dia menghasilkan sesebuah karya. Hanya menluangkan masa unuk menonton artist daripada Beirut (video seperti dibawah), Beijing dan satu lagi tempat di sebuah negara err.. (tak ingat pula negara mana---bersiul~ tanda tak bersalah).



Daripada beberapa video yang ditonton itu, barulah membuka sedikit (ulang: sedikit ;p) mindaku. Aku mula dapat merasakan disebalik setiap karya itu ada cerita dan pandangan yang bermakna. Kalau kita tengok pertama kali karya seni itu memang tak akan hadir rasa apa-apa. Kosong. Tetapi sebenarnya disebalik setiap karya seni itu menggambarkan bahawa seorang artist itu memang banyak berfikir dan dia menghasilkan setiap karya itu bersebab, untuk menyuarakan pendapat masing-masing. Semua perkara dicipta bersebab (tambahan: kita diciptakan pun bersebab, kan?). Mereka inginkan kebebasan bersuara. Bagi aku pandangan/persepsi pertama itu memang selalu menipu-lah. Ambillah masa dan ruang sehingga kita benar-benar kenal dan faham seseorang atau sesuatu perkara barulah kita macam- 'Ohhh!'- 'Aahlah!'- 'Betul juga tu!'-- empati.

Sebaik melangkah keluar daripada kamar video itu, aku sangat menghargai Beirut Caoutchouc karya Marwan Rechmoui itu yang terletak betul-betul di hadapan bilik tadi. Jujur pertama kali aku melihat karya itu aku ingatkan ianya sebuah karpet getah. Rupa-rupanya, ianya ialah ---'sila lihat video diatas, penat cari link kut'. Dan selepas itu, aku pun mula membaca dan menghayati (konon-konon-nya) setiap penjelasan sesebuah karya yang aku tertarik padanya. Barulah aku dapat merasa memang ianya seakan-akan 'hidup' dan malah ada karya seni yang mampu menyentuh seketul hati ini. 

Muzium ini sangat besar tetapi senyap. Tak riuh sangat. Pengunjungnya bahkan kanak-kanak pun tak bising-bising. Mungkin menghayati setiap karya seni (atau sebab datang waktu pagi? tak ramai orang. heh, entah). Walaupun muzium itu senyap tetapi andai setiap karya di muzium itu boleh berkata-kata, aku rasa muzium itu amatlah bising sebenarnya. 

Bising untuk bersuara. 
Bising untuk didengar.

Sungguh, seni itu sangat-sangat bising!

yna-curi-curi-cuti,
Easter Break
14042017
1614

Comments